Menakluk Meisha Jian di Shenzhen

Kami berlima berjaya ke puncak Meisha Jian! 

Meisha Jian merupakan bukit berketinggian 753 meter yang terletak di Yantian District, Shenzhen, Wilayah Guangdong, China. Bukit ini merupakan sebahagian bukit yang menjadi tumpuan warga setempat dan pelancong untuk mengadakan aktiviti mendaki. Untuk ke sini, boleh menaiki Metro Shenzhen Line 8 dan berhenti di stesen Yantianxu. Daripada sini boleh menaiki bas atau Didi. Kalau nak bas, sekitar RMB15 dan kalau menggunakan Didi sekitar RMB25. Cari lokasi menggunakan Didi : 山海大观观景台.

Kami berlima termasuk Dr. Kimi, Wan Azuan, Fitri dan Huda berkesempatan untuk mendaki bukit ini. Kami bergerak ke kaki bukit pada pukul 6.45 pagi, 4 Ogos 2024 (Ahad). Untuk sampai ke lokasi 山海大观观景台, kami menggunakan Didi (macam grab kalau di Malaysia). Masa bertolak dari Hotel Kingkey Palace yang terletak berdekatan dengan Pantai Dameisha, kami terus menuju ke lokasi 山海大观观景台. Di sini, kita orang bergambar sekejap dan menikmati udara pagi dalam 15 minit.

Lokasi : 山海大观观景台 Permulaan pendakian akan jumpa anak sungai.

Daripada sini, kami berjalan dalam 30 meter ke laluan masuk pendakian yang terletak di sebelah kiri gambar lokasi di atas. Jarak daripada sini ke puncak bukit adalah 3.8km. Mula-mula masuk laluan akan jumpa air sungai, perlu menyebarang untuk meneruskan pendakian. Jangan risau, ada banyak laluan untuk ke puncak. Kerana ini kali pertama, kami menggunakan laluan bertangga.

Sepanjang pendakian, memang banyak panorama menarik. Bergambar? sudah tentulah, pantang jumpa spot menarik. Di awal pendakian, laluan dilitupi pepohon, jadi tidaklah terus terkena matahari. Bila ada angin bertiup, terasalah juga sejuk. Pun begitu, tetap berpeluh kerana kawasan Shenzhen ini agak kering, jadi memang terasa haba panas walaupun matahari tidak terik. Kalau nak ke sini, pastikan bawa air secukupnya. Setiap orang bawa dalam 2 atau 3 botol air mineral. Disebabkan kami bertolak awal pagi, kami bawa bersama makanan. Dr.Kimi bawa nasi sementara yang lain hanya bawa snak dan buah.

Pendakian kami mengambil masa 1 jam 50 minit. Pendakian akhir memang sedikit mencabar kerana agak pacak. Kat sini kena hati-hati juga sebab nak sampai ke puncak, kiri dan kanan adalah curam dan tiada tempat berpegang. Huda bawa bendera Malaysia, apa lagi, bergambar sakanlah di puncak. Kat sini kita boleh tengok 360 bandar Shenzhen. Masa kami sampai, tidak berkabus dan pemandangan sangat baik. Daripada sini boleh juga nampak Gunung Wutong iaitu puncak tertinggi di Shenzhen.Cuma sayangnya, masa kami tiba, terdapat kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan kat puncak. Kat sini juga kami dapat tengok secara langsung bagaimana syarikat menggunakan dron berskala besar untuk mengangkut batu-batu yang digali daripada puncak ke bawah. Anggaran dalam 20kg juga dron bawa batu tu.

Tangga mendaki Pemandangan daripada laluan pendakian
Tangga mendaki Dr. Kimi dan Wan Azuan, rehat sebentar.

Dalam 1 jam juga kami di puncak. Puncaknya tak besar, lebih kurang dalam 300 kaki persegi sahaja. Mujurlah masa kami tiba di puncak, tidak ramai orang. Boleh bergambar lebih sikit. Kemudian kami turun menggunakan laluan Tan Xian Temple. Laluan ini juga bertangga. Daripada laluan ini, akan dapat melihat empangan Shenzhen. Sebelum turun, kami berhenti makan di tangga. Dalam 1 km berjalan, terdapat persimpangan untuk pergi ke Tan Xian Temple dan ke puncak Meisha Jian menggunakan laluan hutan. Oleh kerana di sini baru kami tahu kalau menggunakan laluan ke Tan Xian Temple perlu berjalan sejauh 6km, maka kami kembali ke laluan ke puncak menggunakan laluan hutan dan teruskan turun mengikut jalan sama yang kami naik.

Di sini, pendaki ada yang bawa payung sebab kawasan Shenzhen memang panas. Ada masanya suhu mencecah sekitar 38 celcius. Jadi bawalah payung jika perlu. Satu lagi, jangan lupa bawa juga tuala kecil untuk lap peluh. Memang peluh keluar macam orang mandi.

Untuk pulang ke hotel, Dr. Kimi, Wan Azuan dan Fitri menggunakan Didi. Aku dengan Huda pula naik bas sebab Didi lambat sangat waktu menunggunya. Kami turun Stesen Metro Yantianxu. Daripada sini, naik Metro menuju ke Stesen Pantai Dameisha, satu stesen daripada Yantianxu.


Puncak Meisha Jian. Dari kiri : Wan Miesham, Dr. Kimi, Wan Azuan, Fitri dan Huda.


Puncak Meisha Jian.


Huda dan Fitri dengan latar belakang Pantai Dameisha.


Fitri di tangga hampir ke puncak bukit.


Puncak Gunung Wutong (Great Wutong) yang merupakan puncak tertinggi di Shenzhen boleh dilihat daripada puncak bukit Meisha Jian.


Wan Azuan berlatar belakangkan empangan Shenzhen.


Bergambar bersama dua orang pendaki daripada Shenzhen (no. 3 dan 4 dari kiri). Merekalah yang membantu kami ambil gambar di puncak bukit.


Papan tanda yang menunjukkan ketinggian puncak bukit Meisha Jian.




Lihat juga catatan pendakian Gunung Wutong di Shenzhen.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kembara ke China : Sebuah Catatan dan Panduan

Kembara Changzhou, China

Kembara Xi'an, China